Lihat Teguran Pusat Secara Positif – Md. Alwi

Kerajaan PAS Kelantan perlu melihat secara positif setiap teguran yang dibuat oleh Kerajaan Pusat.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, setiap teguran yang dibuat itu berniat ikhlas untuk membantu melicinkan pentadbiran negeri.

“Sejak dari dahulu lagi teguran kita tidak pernah berniat untuk memalukan mereka (kerajaan negeri) tetapi kita memberi teguran membina.

“Kita sayang negeri Kelantan ini macam mereka sayang, jadi jangan bimbang kerana teguran kita bukan untuk menghancurkan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulasi mengenai pengakuan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengenai kesilapan kerajaan Kelantan semasa memeterai perjanjian bagi pembangunan Lembah Sireh sehingga menyebabkan tujuh projek yang dijanjikan syarikat pemaju Liziz Standanco Sdn. Bhd. tidak dilaksanakan.

Kerajaan PAS Kelantan mengakui telah melakukan kesilapan Projek pembangunan kawasan baharu itu dilaksanakan selepas Kerajaan PAS Kelantan ‘memberikan’ 400 hektar tanah dengan bayaran premium RM1 juta kepada Liziz Standaco.

Md. Alwi berkata, sebelum ini, pihaknya ada membuat teguran mengenai hal berkenaan namun tidak diendahkan oleh kerajaan negeri.

“Sekarang, mereka sudah mengakui kesilapan yang dibuat sebelum ini dan kita menghormati pendirian Mohd. Amar.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kerana beliau berani mengaku salah dan orang yang paling berani di dunia adalah orang yang mengaku salah,” katanya. – 23 Mac 2017.