Presiden FAM: Annuar Tarik Diri

(Dikemas kini) Tan Sri Annuar Musa mengumumkan menarik diri daripada merebut kerusi sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau membuat pengumuman itu di pusat media di Parlimen hari ini.

Keputusan tersebut sekali gus memberi ruang kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menang tanpa bertanding.

Annuar berkata, keputusan tersebut berpunca daripada dakwaan segelintir pihak baru-baru ini, kononnya ada ‘tangan ghaib’ menggesa perwakilan memberi undi kepadanya.

“FAM perlu ada barisan EXCO berwibawa, selain dikendalikan dalam suasana yang harmoni dan mendapat sokongan semua pihak tanpa wujud perpecahan di peringkat pengurusan.

“Oleh itu, selepas berfikir secara mendalam, saya mengambil keputusan memberi penghormatan kepada TMJ supaya diberi kemenangan tanpa bertanding,” katanya.

Pemilihan jawatan Presiden FAM akan berlangsung Sabtu ini sempena kongres badan induk bola sepak negara itu.

Sementara itu di Kota Bharu, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) terkejut dengan keputusan Annuar itu.

Presidennya, Mahizi Mahmood berkata, bagaimanapun pihaknya menghormati keputusan Annuar.

“Kami menghormati keputusan ini dan saya percaya beliau sudah membuat pertimbangan sewajarnya mengenai hasrat tersebut. – 23 Mac 2017.