Tiga Maut, Dua Cedera

Tiga maut manakala dua cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kampung Tok Kaya, Pulai Chondong semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa yang maut di tempat kejadian ialah warga emas, Azizah Zakaria, 72, manakala pemandu Proton Saga, Siti Rohani Yajid, 35 dan anaknya, Mohd Zahirul Fitri Mohd. Hasrul Nizam , 11, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Manakala, seorang anak kepada pemandu kereta, Mohd. Tharid Hakim, 5 dan suami Azizah iaitu Yajid Ismail, 82, kritikal. Seorang lagi anak mangsa, Nor Eiyazi Amani,9, hanya cedera ringan dan Nor Adita Aisyah tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Machang, kejadian berpunca selepas kereta Proton Saga yang dinaiki tujuh orang dari arah Kuala Krai menghala ke Kota Bharu dipercayai telah memotong kederaan di hadapannya sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta Mercedes.

“Akibat pertembungan itu, kereta Mercedes tidak sempat mengelak dan merempuh kereta Proton Saga menyebabkan kedua-dua pemandu tercampak. Lebih kurang 10 minit selepas pelanggaran, kereta Proton Saga terbakar.

“Orang awam yang berada di lokasi sempat mengeluarkan kesemua penumpang dalam kereta tersebut,” katanya.

Beliau berkata, seorang mangsa meninggal di tempat kejadian manakala dua lagi mati semasa dalam perjalanan ke Hospital Machang.

Punca kemalangan masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu abang mangsa, Mohd. Zahid Yajid, 47, berkata, mereka semua dalam perjalanan dari Sungai Santan, Jeli menuju ke rumahnya yang terletak di Kampung Teras, Kubang Kerian untuk majlis tahlil.

“Kami sekeluarga merancang untuk membuat kenduri tahlil untuk arwah abang kami pada Jumaat ini dan berkumpul adik-beradik pada hari tersebut.

“Ketika itu, mereka berkonvoi dua kereta berasingan untuk ke rumah saya. Sebuah lagi kereta yang dipandu kakak kepada Siti Rohani berhenti di bandar Machang untuk membeli barang kenduri.

“Namun, Siti Rohani mengambil keputusan untuk meneruskan sahaja perjalanan sehinggalah terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa ibu.

“Siti Rohani tinggal di Kajang, Selangor dan baru sampai di sini semalam. Kami sekeluarga tidak menyangka kenduri tahlil tersebut bertukar menjadi lebih sayu apabila tiga ahli keluarga terkorban dalam kemalangan tersebut,” katanya ditemui ditemui di Jabatan Forensik Hospital Machang.

Kesemua jenazah dikebumikan di Kampung Asal, Kubang Kerian. – 23 Mac 2017.