Dr. Mahathir Berkuasa Penuh Dalam PPBM, Muhyiddin Tidak Mampu Buat Apa

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu mempersoalkan pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamed ekoran terputusnya hubungan kerjasama antara parti itu dan PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, bekas Perdana Menteri itu dilihat mempunyai ‘kuasa veto’ dalam parti tersebut sehingga Presidenya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mampu membuat apa-apa pendirian berhubung kerjasama tersebut.

“Kita lihat macam ada konflik daripada segi pendirian antara Pengerusi dan Presiden parti itu. Presiden dan Timbalannya (PPBM) dilihat mempunyai keinginan termasuk mengadakan perbincangan dan berada sepentas dengan PAS.

“Namun apa-apa keputusan akhirnya akan ditentukan oleh Dr. Mahathir sendiri. Jadi apabila PPBM membuat keputusan menyertai Pakatan Harapan, segala rundingan, kerjasama antara kedua-dua parti itu tamat,” katanya selepas ceramah isu semasa di Kampung Cherang Kota Bharu.

PAS sebelum ini memuktamadkan pendirian untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PPBM selepas parti itu sah menyertai pakatan pembangkang yang di­ke­tuai DAP.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, parti itu tidak akan meneruskan lagi perbincangan dengan PPBM dan segala rundingan yang dijalankan sebelum ini terbatal.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, komitmen kerajaan Pusat untuk membentangkan sendiri Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) bakal memberi lebih peluang usul tersebut diluluskan.

Menurutnya, apabila RUU tersebut dibawa oleh wakil kerajaan maka semua ahli Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) yang terdiri daripada Ahli Parlimen BN bakal terikat dengan ketuanya untuk menyokong pindaan tersebut.

“Usul pindaan tersebut juga akan lebih mudah dibentangkan kerana hanya perlu melalui bacaan kali pertama dan bacaan kali kedua untuk undian berbanding jika dibawa wakil pembangkang yang perlu notis 14 hari dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin usul pindaan tersebut akan diluluskan meskipun tanpa sokongan daripada Ahli Parlimen DAP dan PKR yang masih belum membuat pendirian tetap mengenainya.

“Kita lihat Ahli Parlimen PAS dan UMNO yang beragama Islam sudah mencukupi bagi mendapat sokongan majoriti mudah iaitu 112,” katanya. – 24 Mac 2017.