Nora Reda Pemergian Johan

Komposer Johan Nawawi yang juga suami kepada Nora Ariffin meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya akibat serangan jantung kira-kira pukul 6.30 pagi hari ini.

Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 11.30 malam tadi selepas kesihatannya merosot.

menurut Nora, suaminya dibawa ke hospital malam tadi dan ditahan di wad kecemasan.

“Saya bawa dia ke hospital pada malam tadi dan terus ditahan di wad kecemasan, saya minta bilik eksekutif tapi penuh.

“Jadi saya terpaksa balik, selepas itu kira-kira pukul 5.30 pagi pihak hospital telefon beritahu arwah dalam keadaan tenat.

“Bila saya sampai, doktor beritahu arwah sudah meninggal dunia. Saya reda dia pergi ke tempat yang lebih baik,” katanya.

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat.

Johan, 52, merupakan penggubah lagu pop sejak 1980-an dan banyak menciptakan lagu untuk isterinya seperti Satu, Desa Tercinta, Naluri dan Samudera. – 24 Mac 2017.