PAS Sedia Ambil Balik Kerusi PKR Di Selangor

PAS sedia mengambil balik kerusi yang dipinjamkan kepada PKR di Selangor termasuk Parlimen Gombak yang dikuasai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr. Zuhdi Marzuki berkata, pihaknya mempunyai strategi tertentu untuk menguasai negeri tersebut meskipun Mohamad Azmin menyindir PAS berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun katanya, keputusan tersebut tertakluk kepada status hubungan tahaluf siyasi dengan PKR yang dijangka bakal diputuskan pada muktamar tahunan parti itu di Kedah, akhir bulan depan.

“Kita tidak menolak kemungkinan mengambil balik kerusi di Selangor termasuk kerusi PKR. Pada masa ini, kita masih lagi mempunyai hubungan dengan PKR dan kita perlu tunggu bila muktamar membuat keputusannya nanti.

“Kalau putus (hubungan PAS dan PKR) bukan sahaja di Selangor malah kerusi di seluruh negara kita ambil,” katanya selepas ceramah isu semasa di Kampung Cherang Kota Bharu.

Selasa lalu, Mohamad Azmin menerusi laman sosialnya menyindir Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz ekoran kekalahan Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa baru-baru ini.

Timbalan Presiden PKR itu menerusi laman sosial Twitternya menulis: “Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur.”

Sindiran tersebut ditujukan kepada Nik Abduh sejurus selepas anak bekas Muryidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu melontarkan keyakinan bahawa sasaran PAS untuk menguasai lima negeri termasuk Selangor pada PRU-14 adalah realistik.

Mengulas lanjut, Dr. Zuhdi yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, pada PRU-13 lalu, PAS menguasai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 20 yang ditandingi termasuk empat kawasan Parlimen.

Dalam masa sama katanya, PAS juga tidak menolak kemungkinan bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi Melayu lebih daripada 40 peratus khususnya di kerusi-kerusi yang dikuasai DAP. – 24 Mac 2017.