PAN Kata PAS Tidak Mampu

PAN terus memperkecilkan keupayaan politik PAS dengan berkata parti Islam itu tidak akan menang dalam pilihan raya sekiranya bergerak sendirian.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, sejarah membuktikan PAS berjaya membentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu sebelum ini adalah hasil permuafakatan politik dalam kalangan pembangkang.

“Kita mahu menang dalam pilihan raya. Kalau mahu dapat kuasa pemerintahan, kita perlukan sokongan orang ramai.

“Kalau PAS seorang (bersendirian), boleh tak ambil Kelantan dan Terengganu? Tidak boleh.

“Walaupun PKR ada yang kata kecil di Terengganu tapi ia beri manfaat untuk ambil alih Terengganu tahun 1999,” katanya dalam ceramah umum di Tumpat, Kelantan.

Beliau berkata, pengalaman PAS menawan Kelantan pada pilihan raya umum 1990 adalah hasil pendekatan politik pimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang bergabung dengan parti Semangat 46.

“Takdir Allah menjelang 1990, lahir parti Semangat 46, kita bergabung berdepan kerajaan pimpinan Mahathir (Tun Dr.Mahathir) ketika itu. Maka, kita bentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

“Hasilnya, kita tawan Kelantan, Nik Aziz ditabalkan sebagai Menteri Besar,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu.

Di Terengganu pula jelasnya, pakatan pembangkang membentuk gabungan melalui Barisan Alternatif.

“Menjelang tahun 1999, Anwar dipecat. UMNO bergolak lalu wujud gerakan reformasi yang didukungi anak muda.

“Maka pimpinan waktu itu ambil keputusan bergabung. Wujudlah Barisan Alternatif, kita (pembangkang) dapat Terengganu,” katanya.

Justeru tegasnya, parti-parti pembangkang tidak boleh bersendirian untuk berdepan UMNO dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang. – 25 Mac 2017.