Azmin Patut Tegur PAN Kalau Hormati PAS – Nik Abduh

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menasihatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak terlalu ’emosi’ berhubung kenyataannya bahawa PAS sedia merampas Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Nik Abduh berkata, kenyataan tersebut sebenarnya ditujukan kepada PAN sebagai tindak balas terhadap parti serpihan PAS itu yang terlalu bersungguh-sungguh untuk merampas Kelantan.

Beliau berkata, sekiranya Mohamed Azmin menghormati hubungan dengan PAS, Timbalan Presiden PKR itu sepatutnya terlebih dahulu menegur PAN bukan dengan tindakan menyerangnya.

“Kenyataan saya adalah tindak balas kepada PAN yang beriya-iya sangat hendak tawan Kelantan. Mohamed Azmin sepatutnya menegur PAN kerana PKR masih mempunyai hubungan dengan PAS.

“Kalau dia (Azmin) tidak selesa dengan kenyataan saya (hendak tawan Selangor), dia juga patut tidak selesa dengan kenyataan PAN yang berulang kali menyebut untuk merampas Kelantan.

“Apa yang peliknya, apabila pakatan pembangkang menyerang PAS, PKR ini hanya mengambil jalan senyap dan dalam masa sama sanggup menghantar orangnya (pemimpin PKR) berceramah sepentas dengan PAN di Kelantan,” katanya semasa ditemui di Kota Bharu.

Selasa lalu, Mohamed Azmin menerusi Twitternya menyindir Nik Mohamad Abduh dengan menulis kenyataan: “Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur.”

Sindiran pedas Mohamed Azmin itu mendapat kecaman hebat oleh akar umbi PAS khususnya di Selangor sehingga terdapat banyak kawasan parti itu menyarankan agar PAS membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan PKR. – 26 Mac 2017.