Mahfuz Kata PAS Dilihat Berperangai ‘Keras Kepala’

Politik pembangkang dilihat semakin tidak keruan. Perbalahan sesama sendiri semakin menjadi-jadi ketika ‘mood’ pilihan raya kian hampir.

Ini terbukti apabila Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegur PAS agar mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali bagi meredakan perbalahan yang sedang berlaku.

Beliau berkata, amalan politik matang PAS sepatutnya tidak membiarkan pimpinan sayapnya menyerang Azmin secara terbuka di media.

“Dalam konsep berpolitik sememangnya perdebatan terbuka tidak dapat dielakkan, tetapi harus cermat dalam berkata-kata. Ungkapan Azmin Ali dengan perkataan ‘lebai’ tidaklah perlu dibalas dengan ungkitan, ugutan dan kecaman terhadap beliau.

“Adalah lebih manis andai politik matang dan sejahtera dizahirkan oleh pimpinan PAS dengan membuat kunjungan dan berbincang dengan Azmin Ali untuk meredakan keadaan dari berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hubungan PAS dan PKR umpama retak menunggu belah selepas beberapa mesyuarat bahagian PAS meluluskan usul ‘putus hubungan’ dengan parti itu dan ia akan dibawa ke muktamar parti Islam itu nanti.

Kemelutnya semakin meruncing apabila Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membuat kenyataan bahawa PAS akan menawan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Susulan itu, Nik Mohamad Abduh mendapat sindiran hebat Mohamed Azmin yang berkata “Ada pak lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur”.

Baru-baru ini Nik Mohamad Abduh tewas dalam pemilihan Yang Di-Pertua PAS Pengkalan Chepa.

Mahfuz berkata, kenyataan PAS akan menerajui Selangor itu sama seperti berhasrat mengambil alih kerajaan Selangor dari Mohamed Azmin dan PKR sedangkan PAS masih berada dalam kerajaan negeri.

“Lainlah kalau PAS dah isytihar berundur dan keluar dari kerajaan Selangor. Tindakan sebegini membina pesepsi yang tidak baik pada PAS,” katanya.

Tambahnya, tindakan PAS menyerang dan mengugut Mohamed Azmin dan PKR menyebabkan rakyat beranggapan parti Islam itu mahu menjatuhkan kerajaan rakyat.

“PAS sedang dilihat berperangai ‘arrogant’ (keras kepala). Rakyat melihat sikap PAS umpama kalau tak dapat pada PAS sekali pun biar kerajaan rakyat ini dijatuhkan,” katanya. – 26 Mac 2017.