PPBM Akui Sukar Tewaskan BN

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengaku sukar untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tanpa gabungan pembangkang.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN hanya boleh ditewaskan menerusi formula satu lawan satu dan pembangkang tidak berlawan sesama sendiri.

“Ada orang bertanya adakah kita boleh menang dalam PRU14. Saya kata kalau PPBM sahaja mungkin sukar. Biarlah kita bercakap terus terang.

“Sebab itu kita nak gabungan parti-parti pembangkang. Jangan lawan sesama sendiri. Janganlah PAN (Amanah) lawan PPBM ataupun lain-lain. Formulanya senang sahaja, satu lawan satu,” katanya dalam ceramah PPBM di Padang Rengas malam tadi.

Dalam pada itu Muhyiddin mencadangkan gabungan dalam Pakatan Harapan – DAP, PKR, PAN dan PPBM dinamakan Barisan Rakyat bagi menentang BN.

Beliau berkata, orang bukan Melayu tidak perlu bimbang kerana hak-hak mereka akan terus dibela di bawah gabungan itu kerana di dalamnya terdapat DAP dan PKR yang mewakili orang bukan Melayu dan bukan Islam. – 26 Mac 2017.