10 PAS Kawasan Pulau Pinang Cadang Putus Hubungan Dengan PKR

PAS Pulau Pinang mencadangkan agar parti itu memutuskan hubungan dengan PKR.

Sebanyak 10 PAS kawasan berkenaan mengemukakan usul tersebut dalam mesyuarat agung kawasan masing-masing dan diluluskan sebulat suara.

Kawasan tersebut ialah Permatang Pauh, Bayan Baru, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Balik Pulau, Jelutong, Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bukit Mertajam dan Bukit Gelugor.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah berkata, usul tersebut akan dibawa ke Muktamar PAS Pusat untuk dibentang dan dibahaskan.

Menurutnya, tiga lagi kawasan yang belum mengadakan mesyuarat iaitu Tanjung, Bagan dan Batu Kawan.

Tiga kawasan itu juga katanya, dijangka akan mengemukakan usul sama dalam mesyuarat agung mereka minggu depan.

Muktamar PAS akan berlangsung dari 29 April hingga 1 Mei di Kedah. – 27 Mac 2017.