Dua Mangsa Culik Abu Sayyaf Pulang Dengan Selamat

Dua rakyat Malaysia yang menjadi tebusan kumpulan pengganas Abu Sayyaf selama lapan bulan kini pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyambut kepulangan mereka di kediaman beliau di Jalan Duta memberitahu, tiada wang tebusan dibayar kepada kumpulan pengganas itu untuk membawa mereka pulang.

“Kita bersyukur mereka dapat kembali selepas lapan bulan dan selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Mereka menceritakan penderitaan yang dilalui dan saya dimaklumkan tentang tekanan yang dihadapi keluarga mangsa sepanjang tempoh mereka ditahan,” kata Najib.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa, Abd Rahim Summas, 62, dan Tayuddin Anjut, 45, masing-masing mengalami beberapa kecederaan yang perlu dirawat.

“Tayuddin mengalami masalah dengan penglihatannya dan memerlukan pembedahan manakalan Abd Rahim tidak mampu berjalan disebabkan masalah pada kakinya.

“Kita telah menguruskan untuk mereka agar dirawat di wad kelas pertama di Hospital Selayan dan mengerahkan doktor pakar bagi merawat kecederaan mereka,” katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, kerajaan kini sedang berusaha bagi memastikan tiga lagi rakyat Malaysia iaitu Mohd. Ridzuan Ismail, 32, Fandy Bakran, 26, dan Mohd. Zumadi Rahim, 23, dibawa pulang.

Abd Rahim dan Tayuddin antara lima anak kapal tunda yang diculik di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai lalu. – 27 Mac 2017