Pasukan Keselamatan Filipina Selamatkan Tiga Lagi Mangsa Culik Abu Sayyaf

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Wan Abd. Bari Wan Abd. Khalid mengesahkan tiga lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa culik kumpulan pengganas Abu Sayyaf diselamatkan pasukan keselamatan Filipina malam tadi.

Mangsa berkenaan Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd. Ridzuan Ismail, 33, diselamatkan dalam satu operasi di perairan Sulu.

“Itu saja yang boleh saya sahkan setakat ini, mereka telah diselamatkan,” katanya ringkas.

Memetik laporan Bernama, difahamkan ketiga-tiga mangsa dibawa ke kem tentera Filipina.

Khamis lepas, dua rakan mereka yang turut menjadi mangsa culik, Tayudin Anjut, 46, dan Abd Rahim Summas, 63, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina.

Tayudin dan Abd Rahim Summas kini berada di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 18 Julai lalu, lima rakyat Malaysia diculik kumpulan Abu Sayyaf selepas kapal tunda Serudong 3 yang dinaiki mereka ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Haven di Lahad Datu. – 27 Mac 2017.