SPRM Menghadap Sultan Johor Berhubung Rasuah Gelaran ‘Tan Sri’

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah gelaran ‘Tan Sri’.

Difahamkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menghadap Sultan Ibrahim di sebuah kondominum di Kuala Lumpur hari ini.

Dzulkifli tiba dengan kenderaan rasmi ke lokasi berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi sebelum dilihat meninggalkan kawasan itu hampir dua jam kemudian.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenai pertemuannya dengan Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim juga tidak memberi sebarang ulasan mengenai perkara itu.

“I’m going shopping (saya ingin pergi membeli-belah),” kata baginda ringkas sambil berjalan keluar dari lokasi berkenaan ke kenderaan rasminya.

Semalam, Sultan Ibrahim meminta wakil SPRM datang mengadap baginda bagi mendedahkan nama individu yang cuba merasuah baginda sebanyak RM2 juta.

Ia bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk gelaran Tan Sri daripada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan SPRM berkata, pihaknya sudah mengenalpasti individu terbabit berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Sultan Ibrahim.

“SPRM akan memastikan siasatan secara telus dilaksanakan dan tindakan tegas diambil mengikut undang-undang.

“SPRM berbangga kerana mendapat sokongan dan komitmen daripada Sultan Johor dalam memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini terutamanya di Johor,” kata kenyataan itu. – 27 Mac 2017.