Dr. Mahathir Ramal PRU14 Diadakan Lebih Awal

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan lebih awal.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin akan mengadakan pilihan raya umum lebih awal berdasarkan jadual cuti untuk kakitangan kerajaan, acara-acara, sambutan ulang tahun dan perayaan yang ditetapkan.

“Mengikut cuti, acara-acara dan sambutan ulang tahun yang dijadualkan, pilihan raya mungkin akan diadakan antara September tahun ini dan Mac tahun depan,” katanya.

Mahathir berkata, pilihan raya umum akan diadakan sebelum berakhirnya penggal pentadbiran Najib.

Mandat kerajaan Barisan Nasional akan berakhir pada akhir Jun 2018 dan ramai membuat spekulasi bahawa Najib mungkin akan memanggil pilihan raya lebih awal. – 28 Mac 2017.