Harga Rokok Naik RM21.50?

Harga rokok mungkin akan dinaikkan kepada RM21.50 berbanding harga paling tinggi sekarang ini RM17 sepaket.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, langkah tersebut bagi mengurangkan jumlah perokok di negara ini.

Katanya, kempen antirokok yang diusahakan kerajaan setakat ini gagal menghalang rakyat Malaysia daripada meneruskan tabiat merokok.

“Walaupun kita telah melaksanakan pelbagai kempen, tetapi sukar untuk menjayakannya.

“Sebagai contoh, kita telah mengisytiharkan kawasan rehat dan rekreasi sebagai lokasi larangan merokok tetapi masih terdapat perokok mengingkari arahan tersebut,” katanya.

Beliau bekata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd. Fakeh (BN-Sabak Bernam) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan menghabiskan purata RM2 juta setahun sejak 2004 dalam melaksanakan kempen antirokok.

Katanya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati trend merokok dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas adalah 24 peratus berbanding dapatan NHMS 2011 iaitu 24.6 peratus.

Tambahnya, terdapat perancangan untuk meningkatkan harga rokok dalam masa terdekat bagi tujuan mengekang orang ramai daripada tabiat merokok.

“Buat masa ini, harga rokok (paling tinggi) dijual RM17 sepaket dan harga itu mungkin akan dinaikkan kepada RM21.50 sepaket,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan merancang untuk membentangkan rang Rokok dan Produk Tembakau pada tahun depan bagi mengawal iklan dan penjualan rokok. – 28 Mac 2017.