KKM Siasat Stevia Palsu

Kementerian Kesihatan sedang menyiasat 10 produk stevia yang didakwa palsu dan dijual di pasaran bagi memastikan produk itu mematuhi perundangan makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan itu beikutan laporan sebuah akhbar yang mendedahkan stevia palsu hasil ujian makmal dua universiti tempatan.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Noor Hisham berkata, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 118A Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Makanan 1983 yang telah menetapkan standard bagi produk ekstrak stevia.

Katanya, mereka yang mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang mengandungi bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan termasuk produk stevia yang mengandungi bahan kimia berbahaya boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak 1ebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini laporan akhbar menyebut, hasil ujian makmal oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Putra Malaysia menunjukkan 10 produk terbabit tidak mengandungi ekstrak tumbuhan sebaliknya adalah kombinasai bahan kimia berbahaya.

Ekstrak stevia adalah sejenis bahan pemanis semula jadi yang diekstrak daripada daun pokok Stevia rebaudiana bertoni yang mengandungi glikosida steviol dan diproses menjadi serbuk putih hingga kuning cerah, tidak berbau dan mempunyai rasa manis.

Ia boleh digunakan sebagai pengganti kepada gula biasa khususnya kepada mereka yang menghidap penyakit diabetes. – 28 Mac 2017.