NGO Cadang Debat Annuar – Kit Siang

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan debat antara Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Pengerusi sekretariat penganjur, Dr. Ammar Hassan berkata, debat bertajuk ‘Yang Berhormat Lim Kit Siang Pengamal Politik Rasis, Diktator dan Anti-Islam’ itu akan diadakan selama dua jam.

“Tarikh debat belum ditetapkan lagi dan lokasi dicadangkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Kita telah menghantar surat jemputan secara rasmi kepada Annuar Musa dan Lim Kit Siang,” katanya pada sidang media di PWTC hari ini.

Menurut Ammar, Annuar telah menyatakan kesediaannya untuk berdebat dan kini sedang menunggu persetujuan rasmi kedua-dua pihak.

Beliau berkata, debat tersebut merupakan platform kepada kedua-dua pemimpin politik berkenaan menyatakan pendirian dan penjelasan berhubung dakwaan masing-masing.

Katanya, pihak penganjur memperuntukkan kehadiran penyokong masing-masing seramai 500 orang selain beberapa NGO dan pelajar universiti.

“Saya yakin kedua-kedua pihak akan menerima (debat) sebab mereka cabar-mencabar di Parlimen.

“Jadi, kami sebagai sekretariat NGO, sebagai neutral bukan mewakili parti mereka untuk menganjurkan (debat),” katanya.

Sebelum ini, Annuar mengulangi kata-katanya bahawa Kit Siang seorang rasis, anti-Islam dan diktator politik sambil mencabar Penasihat DAP itu mendakwanya di mahkamah jika apa yang disebutkan itu tidak benar.

Kit Siang kemudiannya mendakwa Annuar sebagai ‘bapa segala rasis’. – 28 Mac 2017.