Pelaku Rasuah Perlu Dipenjara Kata Bekas Hakim

Mereka yang terlibat dengan gejala rasuah perlu dikenakan hukuman penjara, bukannya denda tidak seberapa, kata Datuk Mohd. Noor Abdullah.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu juga turut menyelar hakim yang menjatuhkan hukuman dalam kes rasuah yang dianggap tidak setimpal dengan jenayah dilakukan.

“Apa yang berlaku kepada hakim-hakim kita? Kes rasuah melibatkan wang, berakhir dengan hukuman denda dan jumlah itu dalam keadaan bahawa jenayah masih boleh mendapat keuntungan selepas didenda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) hari ini.

Mohd. Noor yang juga ahli LPPR berkata, kes rasuah sering melibatkan sejumlah wang yang banyak namun kadang-kala dendanya tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Tetapi dalam beberapa kes yang diheret ke mahkamah, apa hukumannya?

“Denda. Berapa denda itu? Ia sama sekali tidak hampir dengan jumlah wang yang hilang akibat rasuah.

“Jadi, hantar mereka (yang didapati bersalah kerana rasuah) ke penjara, maka kita boleh katakan anda menyumbang kepada pengadilan,” katanya. – 28 Mac 2017.