Ku Nan Minta Rakyat Sedar

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan rasa kesal terhadap segelintir masyarakat di negara ini yang seolah-olah masih tidak sedar terhadap usaha kerajaan untuk keselesaan rakyat.

Beliau berkata, kemajuan dan kemudahan infrastruktur yang dinikmati hari ini tidak akan terlaksana tanpa adanya kerajaan yang merancang sejak dahulu.

“Terutamanya golongan muda, apa yang anda lihat di Kuala Lumpur hari ni bukan ‘magic’ tapi perancangan kerajaan dan nenek moyang kita dan toleransi masyarakat.

“Jangan bazirkan apa yang ada dan jangan dengar cakap orang-orang yang suka melihat ia musnah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran dan sesi cabutan undi Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip), Residensi Seri Wahyu di Kuala Lumpur hari ini.

Tengku Adnan berkata, setiap rakyat Malaysia perlu mengakui bahawa mereka kini sedang menikmati keselesaan hasil usaha kerajaan untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.

Katanya, tidak menganggap kerajaan Malaysia sebagai yang terbaik di dunia, tetapi rakyat perlu berbangga kerana mempunyai pemimpin seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sanggup mendengar kehendak rakyat.

“Kita semua buat salah malah kerajaan Malaysia pun buat salah tapi kerajaan masa kini dengan kepimpinan Datuk Seri Najib, beliau sanggup mendengar dan membetulkan kesalahan untuk pastikan negara terus ke hadapan,” katanya. – 29 Mac 2017.