Lokasi Baharu Positif H5N1 Dikesan Di Tumpat

Jabatan Perkhidmatan Veterinar hari ini mengesahkan satu lokasi baharu di Tumpat, Kelantan positif virus selesema burung (H5N1).

Menurut kenyataan itu, jumlah keseluruhan kawasan yang disahkan positif H5N1 adalah sebanyak 36 lokasi melibatkan 51 premis di negeri itu.

Katanya, bagaimanapun penemuan lokasi baharu di Tumpat masih di dalam zon jangkitan.

“Secara keseluruhan, sehingga semalam operasi pelupusan telah selesai dijalankan di 29 lokasi dan masih diteruskan di lokasi lain.

“Jumlah pelupusan adalah 55,343 ekor ternakan unggas dan 16,693 biji telur,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, sebanyak 2,736 kenderaan telah diperiksa dengan 25 rampasan melibatkan 137 ekor unggas dalam operasi Sekatan Jalan Raya.

Menurut jabatan itu, pasukan petugas pelupusan telah digerakkan dengan segera untuk menangkap dan melupuskan semua unggas dalam 1 kilometer (km) radius dari setiap lokasi yang dikesan penyakit.

Katanya, unggas yang dilupuskan bukan bermaksud ternakan tersebut berpenyakit tetapi untuk membentuk ‘buffer’ bagi mengelak daripada merebak.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kes jangkitan dikesan dalam kalangan manusia.

Pada 6 Mac lepas, kes H5N1 dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kelantan, apabila beberapa ekor ayam kampung yang mati disahkan positif virus berkenaan.

Kerajaan negeri Kelantan kemudian mengisytiharkan wabak berkenaan sebagai bencana negeri berikutan wabak itu merebak di dua lagi jajahan iaitu Bachok dan Pasir Puteh. – 29 Mac 2017.