Pegawai Imigresen Didakwa Terima Suapan RM7,400

Seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan memperoleh suapan RM7,400 daripada seorang lelaki pada Jun tahun lepas.

Ia adalah sebagai dorongan untuk melepaskan dua wanita warga Vietnam tanpa dituduh di mahkamah dan tidak disenaraihitamkan untuk masuk semula ke Malaysia atas kesalahan di bawah Akta Pasport 1966.

Tertuduh, M. Jayakumar, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Slamat Yahya.

Jayakumar, yang bertugas di Jabatan Imigresen Selangor (Cawangan KLIA), didakwa memperoleh suapan tersebut daripada Pheh Khar Huat, 45, sebagai dorongan untuk melepaskan Hyunh Thi Ngoc Thuy dan Nguyen Thi Van.

Tertuduh, yang telah berkhidmat selama enam tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga bernombor pendaftaran JNU 9107 di pekarangan luar bangunan Petronas KLIA, PT3906, Jalan Terminal, Sepang, kira-kira pukul 5.25 petang, 1 Jun 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Slamat membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut memerintahkan Jayakumar menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Hazirah Azeman sementara tertuduh diwakili peguam C. R. Selva. – Bernama, 29 Mac 2017.