Polis Siasat Istiadat Gelaran ‘Datuan’

Beberapa individu daripada sebuah pertubuhan akan dipanggil untuk mengambil keterangan berkaitan majlis istiadat penganugerahan gelaran ‘Datuan’ di sebuah hotel di Kota Bharu pada 3 Mac lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, kertas siasatan mengenai perkara itu dibuka selepas pihaknya menerima tiga laporan yang mendakwa majlis tersebut mencurigakan.

Beliau berkata, pertubuhan tersebut mengadakan majlis istiadat anugerah diraja dengan memakai dan mengenakan pakaian tertentu yang dikhuatiri seperti memberi darjah kebesaran palsu kepada penerima.

“Selain itu, maklumat mengatakan penganjur majlis anugerah itu juga mengenakan bayaran tertentu kepada penerima dan ia dikhuatiri akan mencemar institusi diraja Kelantan.

“Polis akan menubuhkan jawatankuasa di peringkat kontinjen bagi menilai dan menyiasat laporan berkenaan.

“Kita akan melihat beberapa aspek seperti gambar dan merakam percakapan beberapa individu dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Ab Rahman berkata, polis juga akan menyiasat kesahihan pertubuhan berkenaan selain tempoh aktif dan jumlah keanggotaannya.

“Kami akan mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak protokol dan adat istiadat negeri bagi mengesan adakah wujud kesalahan dalam penganjuran majlis terbabit,” katanya. – 29 Mac 2017.