Rasuah Pingat: SPRM Teliti Pendedahan Sultan Ibrahim

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti pendedahan cubaan rasuah terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung penganugerahan pingat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

“Buat masa ini tiada tangkapan lagi kerana kami sedang meneliti kes yang melibatkan pelbagai aspek,” katanya.

Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan pegawai kanan SPRM telah menghadap Sultan Ibrahim berhubung pendedahan itu.

Perjumpaan itu dilaporkan berlangsung di sebuah lokasi di ibu negara.

Pada 25 Mac lepas, Sultan Johor mendedahkan baginda ditawarkan RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong. – 29 Mac 2017.