RM1 Juta BR1M Masyarakat Orang Asli

Kerajaan memperuntukkan hampir RM1 juta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kepada 2,097 masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff berkata, sebanyak RM872,200 telah disalurkan kepada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Paloh dan Nenggiri.

Beliau memberitahu, sebanyak RM583,200 telah diserahkan kepada 1,400 penerima di DUN Galas membabitkan penduduk di Pos Bihai, Belatim, Balar, Hau, Tuel, Brooke, Hendrop dan Blau.

“Seramai 918 penerima mendapat bantuan RM400, enam penerima mendapat RM300 dan 476 mendapat RM450, iaitu lebih setengah juta untuk penduduk Orang Asli di DUN ini (Galas).

“Ini adalah bukti di mana kerajaan amat prihatin dan tidak meminggirkan kaum Orang Asli. Bukan sahaja bantuan BR1M, malah bantuan-bantuan lain juga turut disalurkan bagi membantu menaikkan taraf hidup mereka.

“Begitu juga dengan bantuan persekolahan bagi anak-anak Orang Asli yang sentiasa dijaga. Malah, terbaharu kita membina kemudahan sekolah untuk mereka agar tidak keciciran dalam pelajaran,” katanya. – 29 Mac 2017.