678,305 Saman Tertunggak Kesalahan Trafik Warga Asing

Sebanyak 678,305 saman tertunggak kesalahan trafik membabitkan warga asing dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan trafik (JSPT) sejak 1999.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mahamad Akhir Darus berkata, mereka terbabit melibatkan pemandu dari negara Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia.

“Kita menjalankan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA V) bermula hari ini hingga Sabtu ini di Tumpat, Tanah Merah dan Pasir Mas.

“Sejumlah 33,855 daripada keseluruhan saman tertunggak adalah warga Thailand ketika berada di negara ini dengan 3,758 melakukan kesalahan di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak 1999.

“Operasi itu bertujuan memberi kesedaran kepada pesalah trafik warga asing menyelesaikan saman tertunggak sebelum meninggalkan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Sekatan Jalan Raya (SJR) Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Cabang Empat Salam, Rantau Panjang hari ini.

Dalam pada itu Mahamad Akhir memberitahu, peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara ini berpunca daripada kecuaian dan sikap pengguna sendiri.

Katanya, kebanyakan pemandu tidak mematuhi undang-undang ditetapkan dan mengambil mudah keselamatan jalan raya.

“Pertambahan pemandu baharu juga menjadi faktor penyumbang kemalangan kerana kekurangan pengalaman ketika di jalan raya,” katanya. – 30 Mac 2017.