BN Tidak Bentang RUU 355

Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi memutuskan BN tidak akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu selaras dengan amalan BN yang akan membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama parti komponen.

Sehubungan itu, katanya, pembentangan RUU 355 akan kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“RUU ini akan terus menjadi rang undang-undang persendirian dan kami menyerahkan sepenuhnya kepada speaker untuk menentukan (bila dibentangkan), bergantung pada aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Jika speaker putuskan untuk membenarkan RUU 355 dibentang, maka ia akan dibentangkan dan speaker juga akan memutuskan peraturan mengenai (pembentangan) RUU itu.

“Kita tidak akan bentang dan tentukan dasar kita dalam soal ini kerana RUU 355 ini adalah rang undang-undang persendirian,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Menara Dato’ Onn malam tadi. – 30 Mac 2017.