Bukan Sahaja Guru, Penjawat Awam Lain Juga Aktif Promosi Pembangkang

Saranan berhenti daripada perkhidmatan apabila aktif mempromosikan pembangkang tidak seharusnya kepada guru sahaja tetapi harus melibatkan semua penjawat awam.

Ketua Perhubungan dan Komunikasi Starategik Biro Ekonomi dan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, selain guru, terdapat juga penjawat awam lain yang aktif mengkritik kerajaan di pentas pembangkang secara terbuka.

“Sejak akhir-akhir ini, kita lihat ramai penjawat awam termasuk kakitangan universiti-universiti tempatan giat mempromosikan pembangkang.

“Malah mereka tanpa segan silu berada sepentas dengan pembangkang mengkritik dan memburuk-burukkan kerajaan,” katanya kepada sokmo.net hari ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini menyarankan guru yang aktif mempromosikan pembangkang dan memburukkan kerajaan supaya berhenti daripada perkhidmatan.

Penjawat awam di negara ini terikat dengan peraturan yang ditetapkan di bawah Perintah Am dan mereka perlu mematuhi dasar yang telah ditetapkan kerajaan.

Mohd. Fared berkata, lain-lain kementerian juga wajar mengikut langkah Kementerian Pendidikan itu.

“Perbezaan politik itu perkara biasa, tetapi perbuatan mengkritik, mengutuk kerajaan secara terbuka di pentas pembangkang itu satu tindakan yang tidak boleh dibiarkan,

“Kerajaan sememangnya perlu bertindak tegas terhadap perbuatan itu,” katanya. – 30 Mac 2017.