Giant Tunjung Kini Dibuka

Pasar raya besar Giant Tunjung, Kota Bharu hari ini dibuka secara rasmi.

Cawangan kedua Giant di Kelantan itu menyediakan sebanyak 700 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selain mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. (GCH Retail), Pierre Olivier Deplanck berkata, setakat ini lebih 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negeri itu dipilih menjadi pembekal kepada Giant Tunjung.

Jalinan kerjasama tersebut kata beliau, secara tidak langsung menawarkan ribuan lagi rangkaian peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kami teruja untuk menawarkan perkhidmatan Giant kepada masyarakat setempat. Kami juga komited dan menyokong sepenuhnya perusahaan tempatan bagi merancakkan ekonomi Kelantan.

“Setakat ini Giant telah bekerjasama dengan banyak usahawan tempatan namun masih banyak ruang untuk usahawan tempatan lain pula yang berminat bekerjasama dengan Giant,” katanya dalam majlis pembukaan Giant Tunjung, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Operasi Giant, Neil Gurusamy; Pengurus Kawasan Pantai Timur, Sari Siron dan Pengurus Besar Giant Tunjung, Suhaimi Ibrahim.

Dalam majlis itu, Deplanck turut menyerahkan cek bernilai RM50,000 kepada Yayasan MyKasih untuk diagihkan kepada 50 keluarga miskin di sekitar Kota Bharu bagi membolehkan mereka membeli barangan keperluan secara bulanan di Giant Tunjung selama setahun.

Sempena pembukaannya hari ini, dua selebriti tempatan iaitu penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza serta bintang Gegar Vaganza, Zarul Umbrella turut meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan pengunjung Giant Tunjung.

Selain itu, pihak Giant turut menganjurkan peraduan bermula hari ini hingga 30 April yang mana dengan hanya pembelian minimum RM50, pelanggan berpeluang memenangi hadiah baucer membeli belah bernilai RM1,000.

Berkeluasan 195,000 kaki persegi, Giant Tunjung mempunyai 127 lot kedai dan dilengkapi 350 petak letak kereta selain menawarkan lebih 800 produk di bawah label Giant yang 100 peratus halal. – 30 Mac 2017.