Rasuah Sultan Johor: Suspek Diarah Serah Diri, Tempoh Sehingga 12 Malam Ini

Individu yang cuba merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung penganugerahan darjah kebesaran diminta menyerah diri.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi masa sehingga pukul 12 tengah malam ini untuk individu terbabit berbuat demikian.

Timbalan Pengarah Operasi Datuk Azam Baki berkata, sekiranya individu berkenaan gagal berbuat demikian, SPRM tidak teragak-agak untuk mendedahkan identitinya.

“Kita minta beliau tampil di pejabat SPRM dan kita beri masa sehingga pukul 12 tengah malam ini.

“Beliau tahu tentang perkara ini, jika tidak tampil kita akan dedahkan nama dan gambar beliau,” katanya kepada pemberita hari ini.

Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan pegawai kanan SPRM telah menghadap Sultan Ibrahim berhubung pendedahan itu.

Perjumpaan itu dilaporkan berlangsung di sebuah lokasi di ibu negara.

Pada 25 Mac lepas, Sultan Johor mendedahkan baginda ditawarkan RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong. – 30 Mac 2017.