Warga Emas Maut Dirempuh Treler

Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah treler di Simpang Empat, lampu isyarat Kubang Kerian, Kota Bharu malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa Hamzah Tamat, 63, dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke rumahnya di Kampung Chepa.

Mangsa dikatakan telah dilangar treler yang datang dari arah Pasir Puteh menghala ke Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada pemandu yang membawa treler dalam keadaan laju selepas melihat lampu isyarat hijau yang bertukar kepada merah.

“Akibat kecuaian pemandu itu, mangsa dilanggar dari sebelah kanan dan cedera parah pada bahagian badan serta meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat,” katanya.

Baharom berkata, pemandu treler terbabit melarikan diri ke kawasan semak yang berhampiran.

“Kita masih mengesan lelaki terbabit untuk tindakan susulan dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – 30 Mac 2017.