Exco PAS Kekal Dalam Kerajaan Selangor

Anggota Exco Selangor daripada PAS tidak akan keluar daripada kerajaan negeri yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) selagi tidak menerima arahan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, tiga exco PAS termasuk dirinya akan menunggu keputusan muktamar parti itu bulan depan sebelum bertindak seterusnya.

“Saya ikut arahan presiden parti sebab kita hanya ada satu presiden sahaja… buat masa ini tiada arahan untuk itu, jadi kita bertugas seperti biasa,” katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Selain Iskandar, dua lagi anggota Exco kerajaan negeri daripada PAS iaitu Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Hubungan PAS dan PKR tegang berikutan parti itu kekal bekerjasama dengan DAP dan PAN.

Susulan itu beberapa PAS kawasan dalam mesyuaratnya menuntut pucuk pimpinan parti memutuskan kerjasama tersebut.

Usul atau tuntutan itu akan dibawa ke muktamar PAS pusat yang dijadual berlangsung 27 April hingga 1 Mei ini.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi PAN, Suhaizan Kayat menjangkakan, PAS tidak mungkin berani membuat keputusan tersebut berdasarkan ‘kuasa’ di Selangor.

“Isu utama adalah kuasa di Selangor. Hidup dalam keadaan ada kuasa. Dapat pelbagai kemudahan.

“Gaji puluhan ribu. Tiba-tiba nak putus. Hampir mustahil Pas nak putuskan hubungan dengan PKR,” katanya dipetik dalam satu katanya. – 31 Mac 2017.