Gagal Bentang RUU 355, Abdul Hadi Perlu Letak Jawatan

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, menggesa Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama jawatankuasa parti meletakkan segera jawatan mereka berikutan kegagalan untuk membentangkan RUU 355 di parlimen.

Husam yang kini selaku Penasihat PAN Kelantan berkata, kejutan buat PAS itu sudah dijangka berlaku biarpun BN memberi keyakinan kepada rakyat RUU 355 boleh dibentangkan di Parlimen.

“Secara ringkasnya, saya minta Presiden PAS (Abdul Hadi) dan jawatankuasa PAS meletakkan jawatan secara bersama. (Sebab) yang berlaku ini satu tindakan politik merosakkan nama PAS.

“Dia telah memecahbelahkan pakatan pembangkang, pecahbelahkan PAS dan meletakkan PAS sebagai satu badan politik yang tidak dapat difahami oleh rakyat jelata,” katanya kepada media semalam.

Mengulas lanjut, Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor memberitahu, semasa beliau masih berada di dalam PAS lagi perkara sebegini telah dibincangkan namun tidak diendahkan.

“Tetapi tiba-tiba RUU 355 dibawa secara persendirian oleh Ahli Parlimen Marang tanpa persetujuan jawatankuasa PAS Pusat pada waktu itu,” katanya.

Husam berkata, Abdul Hadi tidak boleh melepaskan diri kerana telah mencemarkan kredibiliti PAS. – 31 Mac 2017.