Salah Guna Dana Yawas: SPRM Serbu Pejabat Teresa, Rampas Dokumen

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu pejabat Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Kuchai Lama dan merampas dokumen berhubung penyalahgunaan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Azam Baki, mengesahkan perkara itu dilakukan selepas pegawai-pegawai SPRM mendapat waran geledah.

Ketika serbuan dibuat kira-kira pukul 11 ​​pagi, ahli Parlimen DAP itu tidak berada di pejabatnya.

“Kami telah menghubunginya dan beliau telah memberikan kerjasama kepada pegawai kami.

“Beberapa dokumen telah diambil untuk membantu kami dalam menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Azam berkata, SPRM perlu mengkaji dokumen-dokumen berkenaan terlebih dahulu dan kenyataan akan diambil daripada pihak berkaitan dalam masa terdekat.

Siasatan itu susulan laporan yang dibuat kepada SPRM oleh seorang individu berhubung dakwaan penyelewengan dana Yawas.

Awal bulan ini, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos membuat satu siri laporan mendakwa beberapa ahli politik telah menyalahgunakan dana Yawas.

Selain Kok, ahli politik lain yang dinamakan beliau dalam laporan itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim dan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin. – 31 Mac 2017.