Dadah Bernilai RM4.7 Juta Dirampas

Sebanyak 474,000 biji pil kuda yang bernilai kira-kira RM4.7 juta dirampas dalam serbuan di sebuah rumah berhampiran tebing Sungai Golok, Rantau Panjang Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 7.19 petang itu membabitkan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa.

Beliau berkata, rampasan tersebut merupakan yang terbesar setakat ini melibatkan dadah jenis pil kuda.

Katanya, dalam serbuan tersebut seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan dipercayai mengambil upah membawa barang terlarang itu dan telah direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal kita percaya lelaki berkenaan hanya mengambil upah membawa masuk barangan berkenaan ke negeri ini.

“Kita akan jalankan siasatan lanjut bagi mengesan dalang disebalik semua ini,” katanya. – 1 April 2017.