RUU 355: PAS Tidak Ragu Keikhlasan UMNO

PAS tidak meragui keikhlasan UMNO dalam menyokong RUU 355, kata Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob.

Malah parti Islam itu tidak bimbang dengan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak mengambil alih peranan membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Beliau berkata, pembentangan oleh Presidennya yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Parlimen kelak diyakini akan tetap berjalan lancar tanpa halangan.

“Bila BN buat keputusan itu, maknanya semua balik kepada asal. Lagipun memang segala persiapan sudah dibuat oleh Ahli Parlimen Marang.

“Apa yang penting, RUU 355 ini dibawa ke Parlimen dan kita harap semua Ahli Parlimen Islam beri sokongan. Kalau ada yang bukan Islam mahu menyokong, kita alu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Integrasi Antara kaum (Peka) dan Penyampaian Watikah Pelantikan kepada anggota Peka di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR10.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin berkata, BN memutuskan untuk tidak membentangkan RU 355 selaras dengan dasar dan amalan BN yang membuat keputusan berdasarkan persetujuan bersama.

Menurut Najib yang juga Pengerusi BN, perkara itu akan terus menjadi rang undang-undang persendirian dan terserah kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menentukan peraturan mengenainya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad menyelar bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang dikatakan menggesa supaya Abdul Hadi dan ahli jawatankuasa meletak jawatan kerana merosakkan nama baik parti apabila gagal meneruskan pembentangan RUU 355.

“Dia ini tidak faham Perlembagaan Persekutuan. Kalau dia faham dia tidak desak begitu,” katanya. – 1 April 2017.