Aminah Pergi Selepas Bertarung Nyawa Akibat Kanser Mata

Kira-kira 17 hari bertarung nyawa akibat kanser mata, Aminah Mohamad Amin, 5, akhirnya pergi buat selama-lamanya mengadap Ilahi awal pagi tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Dia yang dimasukkan ke HUSM 5 Mac lalu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.30 pagi di sisi ibunya, Norima Mohd. Nuzi, 37, dan bapanya Mohamad Amin Ahmad, 37.

Aminah, sebelum ini dikatakan bergantung pada mesin bantuan pernafasan dan bacaannya mula menurun sejak semalam.

Norima berkata, keadaan itu (bacaan menurun) berterusan sehingga awal pagi tadi.

“Doktor ada bertanya sama ada ingin melakukan rawatan awal pemulihan kardiopulmonari (CPR), tetapi saya menolak kerana tidak ingin menyakiti dia.

“Kami pasrah dan reda dengan pemergiannya. Tuhan lebih menyayangi dia, saya pasrah,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Pasir Pekan Tengah, Tumpat hari ini.

Jenazahnya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang Pohon Tanjung, hari ini.

Aminah, anak ketiga dari empat beradik menghidap kanser mata sejak berusia enam bulan menyebabkan kedua-dua matanya buta.

Pada 2014, dia menjalani pembedahan bagi membuang mata kiri sebelum mata kanannya terpaksa juga dibuang pada tahun lalu setelah ianya didapati semakin mengecut dipercayai kesan rawatan kemoterapi.

Dia dimasukkan ke HUSM pada 5 Mac lalu dan menjalani dua pembedahan bagi membuang cecair di bahagian kepala di mana sel kanser dikatakan telah merebak di bahagian itu. – 2 April 2017.