Annuar Beransur Pulih

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan beransur pulih dan berada dalam keadaan stabil.

Menurut abangnya, Abdul Sattar Musa, Ahli Parlimen Ketereh itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) HUSM telah menunjukkan perkembangan positif.

“Keadaan Annuar kini beransur pulih dan doktor menasihatkannya supaya banyak berehat,” katanya dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, beliau memohon orang ramai agar tidak melawat Annuar buat sementara ini bagi memberi peluang adiknya itu berehat dengan secukupnya.

Annuar, 61, dimasukkan ke HUSM selepas mengadu pening, sakit dada dan muntah-muntah pada 6.15 pagi semalam.

Kemasukan bekas Presiden Bola Sepak Kelantan itu ke hospital menjadi tular di laman sosial.

Selain memuat naik gambar di dalam hospital, rata-rata netizen mohon mendoakan kesihatan beliau cepat sembuh. – 2 April 2017.