Fikir Jauh Ke Depan, Jangan Musuhi UMNO Sampai Akhirat – Nik Abduh

Sambil menyatakan PAS tidak mungkin menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Ketua Pemudanya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengingatkan ahli pergerakan itu tidak memusuhi UMNO sehingga hari akhirat.

Beliau juga turut mengingatkan supaya mereka tidak menjadikan ahli parti pemerintah itu sebagai seteru sepanjang hayat.

Malah, beliau meminta supaya mendekati ahli dan parti UMNO yang menunjukkan minat melaksanakan syiar Islam dalam seluruh kehidupan.

“Saya minta ahli PAS berfikir lebih jauh ke depan. Perjuangan Islam bukan soal PAS-UMNO, ia adalah soal bagaimana nak bawa agama ini diterima dalam masyarakat.

“Kita tahu jika PAS sahaja yang mahu kepada Islam dan orang lain tak nak, jadi tidak ke manalah.

“Jadi, saya minta Pemuda PAS berfikir lebih besar dan jangan hanya berkisar antara PAS dan UMNO sahaja.

“Jika hanya fikir PAS-UMNO, PAS-UMNO, akan jadi macam PAN (Parti Amanah Negara), anggap UMNO musuh sampai akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda PAS Perak, di Sungai Siput hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama politik dengan UMNO beliau memberitahu, ianya sukar memandangkang kedudukan kedua-dua parti bertanding di kerusi atau kawasan yang sama.

“Kerusi yang kita akan bertanding, mungkin 70 hingga 80 kerusi (Parlimen), semua kerusi ini tempat yang UMNO ada (meletakkan calon), jadi macamana kita nak kerjasama dengan UMNO,” katanya.- 2 April 2017.