Kenyataan Terpesong Akidah, JAKIM Akan Ambil Keterangan Siti Kasim

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengambil keterangan peguam Siti Kasim yang dilaporkan telah membuat kenyataan terpesong dari segi akidah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan berhubung perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam mengikut peruntukan undang-undang bersesuaian.

“Sebagai umat Islam, kita mengambil pendekatan lebih berhemah iaitu mendapatkan penjelasan beliau terlebih dahulu dan tidak boleh bergantung sepenuhnya pada laporan media yang berkemungkinan salah lapor.

“Mungkin juga kerana kejahilan agama dan tidak tahu. Jadi, kita nak tahu daripada mulut Siti Kassim sendiri dan kita berharap jangan pula dia tidak hadir,” katanya.

Menerusi rancangan temu bual online dengan media berbahasa Cina Siti dilapor cuba mencetuskan kontroversi apabila mendakwa mempunyai Islam versi sendiri dan menganggap Tuhan tercipta daripada getaran.

Kenyataan yang dibuat peguam berkenaan mencetuskan kemarahan umat Islam dan mendesak Siti dikenakan tindakan sewajarnya. – 2 April 2017.