Ops Perdana: AADK Kelantan Tahan 72 Penagih

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan menahan 72 penagih di sekitar kawasan Pengkalan Chepa dalam Ops Perdana bermula semalam.

Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad berkata, operasi bermula pukul 10 malam sehingga 7 pagi itu susulan kempen perangi dadah habis-habisan.

Katanya, sebelum ini operasi tersebut telah diadakan di Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

“Kawasan terbabit menjadi target kita memandangkan ramai antara penduduk di lokasi itu bekerja dan tinggal di kawasan perindustrian dan menjadi tumpuan.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 17 hingga 49 tahun dan kesemuanya ditahan dibawah pengaruh pil kuda (methapitamine),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Rohayu berkata, pihak terbabit ditahan di bawah seksyen 31 Akta Penagihan Dadah 1983 dan akan ditempatkan di pusat pemulihan dadah.

Menurutnya, sehingga Februari tahun seramai 5,427 tangkapan telah dilakukan melibatkan penagih dengan jumlah teramai adalah di Kota Bharu iaitu 1,141 tangkapan. – 2 April 2017.