Dr. Vida Bercerai?

Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman mengakui beliau dalam proses penceraian secara rasmi dengan suaminya, Fairuz Ahmad Zainuddin.

Jutawan kosmetik yang lebih dikenali dengan Dr. Vida itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai hubungan yang kini diibaratnya sudah ‘di hujung tanduk’.

“Ya… Hubungan kami ibarat sudah dihujung tanduk, terlalu rapuh. Tetapi buat masa ini lebih baik saya tidak komen apa-apa nanti tersalah komen pula.

“InsyaAllah jika diizinkan suatu masa saya akan kongsikan kepada anda semua,” katanya ketika dihubungi sambil meminta peminat memberikan sedikit ruang kepadanya buat sementara waktu.

Khabar mengenai keruntuhan rumah tangga pengusaha produk kecantikan ini mula tersebar sejak dua minggu lalu.

Vida bernikah dengan Fairuz pada Oktober 2014, yang juga perkahwinan ketiga wanita itu.

 

Dalam pada itu, beliau tidak menolak rasa terkesan dengan perpisahan itu kerana sebagai seorang wanita beliau mahukan hubungan tersebut kekal abadi.

“Sudah tentu terkesan juga. Kalau boleh kita nak hubungan itu kekal abadi, tapi kita hanya merancang, Allah adalah sebaik-baik perancang,” katanya. – 2 April 2017.