Jenazah KP Kelantan Selamat Dikebumi

Jenazah Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badak, Bachok pagi ini.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Naim, Jelawat pada pukul 8 pagi dan di Masjid Mukim Badak pada pukul 9 pagi sebelum disemadikan pada pukul 9. 20 pagi.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub hadir sama solat jenazah.

Suasana hiba menyelubungi persekitaran tanah perkuburan yang turut dihadiri isteri Allahyarham, Datin Che Nat Hassan, 59, bersama tujuh anak dan cucunya serta pembesar negeri, ketua-ketua jabatan dan rakyat setempat.

Allahyarham Ab. Rahman meninggal dunia di Institut Jantung Negara kira-kira 3.45 petang semalam akibat komplikasi kesihatan termasuk sakit jantung.

Allahyarham meninggalkan isteri dan tujuh orang anak.

Allahyarham dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan pada 18 Julai tahun lepas menggantikan Datuk Mazlan Lazim.

Jenazah Allahyarham tiba di kediamannya di Bachok dari Masjid Bukit Aman kira-kira pukul 3.30 pagi tadi. – 3 April 2017.