Kafa Janji Selesai Gaji Tertunggak

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berjanji akan menyelesaikan secepat mungkin isu tunggakan gaji pemain The Red Warriors (TRW).

Pemangku Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata,cek RM2 juta untuk tujuan tersebut sedang dalam proses pihak bank.

“Dalam mesyuarat exco pagi tadi (semalam), saya diberitahu cek berkenaan dalam proses untuk ditunaikan. Bila proses itu selesai, kita akan memasukkan segera ke akaun pemain dan pegawai pasukan.

“Jadi, saya berharap mereka dapat bersabar buat seketika. Saya memahami kesulitan dihadapi oleh pemain namun Kafa memberi jaminan masalah itu akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita online.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan pemain skuad pantai timur itu buntu memikirkan nasib mereka apabila belum menerima gaji selama dua bulan iaitu Februari dan Mac.

Malah dalam masa sama, tegasnya, Kafa sentiasa berusaha mendapatkan sumber kewangan secara berterusan kerana pihaknya percaya keutamaan kebajikan pemain adalah aspek terpenting dalam menentukan jatuh bangun prestasi pasukan itu.

“Secara peribadi, saya memuji sikap dan komitmen tinggi pemain kerana walaupun Kafa berdepan masalah membayar gaji namun mereka tetap memberikan aksi terbaik buat pasukan.

“Di pihak Kafa sendiri, kita tidak akan lepas tangan kerana tanggungjawab (membayar gaji) itu adalah urusan majikan dan kita akan terus berusaha melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik demi masa depan bola sepak Kelantan,” katanya. – 3 April 2017.