MB Kelantan Ucap Takziah Kepada Keluarga Ab. Rahman

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail di atas pemergian Ketua Polis Kelantan itu.

Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, pemergian Ab. Rahman merupakan satu kehilangan besar buat seluruh rakyat negeri Kelantan.

“Saya menerima berita yang menyedihkan bahawa Ab. Rahman telah pergi buat selamanya mengadap Ilahi.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, bersabarlah di atas dugaan dan saya mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama para golongan yang diredhai Allah di Syurga,” katanya menerusi status laman Facebooknya.

Ab. Rahman, 59, yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur meninggal dunia pada pukul 3.45 petang semalam di sisi isteri dan anak-anaknya akibat komplikasi jantung.

Allahyarham mula bertugas sebagai Ketua Polis Kelantan pada 18 Julai 2016, menggantikan Datuk Mazlan Lazim yang kini bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Sebelum itu, Ab. Rahman bertugas sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.

Beliau berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 33 tahun.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pemergian Ab. Rahman yang merupakan anak jati Kelantan dianggap sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat negeri itu.

Katanya, Allahyarham dianggap sebagai seorang yang cukup profesional dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Allahyarham juga dihormati masyarakat ekoran pelbagai pendekatan yang dilakukan untuk menyantuni rakyat termasuklah tampil di atas mimbar menyampaikan khutbah Jumaat.

“Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh,” katanya. – 3 April 2017.