Salahuddin Dinasihat Tidak Campur Urusan Parti Lain

Pergerakan Pemuda PAS Kelantan menyelar sikap pemimpin parti serpihannya PAN yang dikatakan suka ‘menyibuk’ urusan parti itu.

Timbalan Ketua Pemudanya, Nor Azariza Mohd. Alawi turut menasihatkan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub supaya tidak mencampuri hal parti itu terutamanya dalam urusan meminda RUU 355.

Beliau berkata, mencampuri urusan atau hal parti lain adalah tidak manis dan tidak sepatutnya dilakukan bekas pemimpin PAS itu.

“Jangan sibuk hal orang (PAS). Jaga parti sendiri dulu. Urusan itu (pindaan RUU 355) adalah hak orang Islam.
“Sepatutnya beliau kena fikir lebih jauh, apa sumbangan Amanah (PAN) untuk perkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia. Apa peranan ahli parlimen mereka,” katanya dipetik sebuah portal berita online hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Salahuddin yang didakwa membayangkan usaha PAS untuk meminda RUU 355 semakin sukar, malah tindakan kerajaan tidak mengambil alih pembentangan usul menjadikan hasrat parti Islam itu hampir mustahil berlaku.

Azariza berkata, Pemuda PAS Kelantan masih optimis dengan usaha tersebut, malah bersedia mental dan fizikal dalam setiap keputusan yang akan dibuat kepimpinan tertinggi berhubung perkara itu. – 3 April 2017.