Tahanan Meninggal Dunia Dalam Lokap

Seorang lelaki yang ditahan reman meninggal dunia dalam lokap di Balai Polis Pasir Mas selepas mengalami sesak nafas pada pukul 4.30 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Assisten Komisioner, Din Ahmad berkata, tahanan berusia 42 tahun itu baru tiga hari berada di dalam lokap selepas mendapat perintah reman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil siasatan awal kita dapati tahanan ini pernah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar sehari sebelum kejadian, akibat mengalami masalah sama (sesak nafas),” katanya kepada pemberita di Kampung Badak, Bachok hari ini.

Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan punca sebenar kematian mangsa.

Tambahnya, tahanan yang berasal dari Terengganu itu turut positif dadah, meninggal dunia selepas pengsan sebelum sempat dibawa ke hospital.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat. – 3 April 2017.