FAM Tamatkan Perkhidmatan 20 Kakitangan

Seramai 20 kakitangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditamatkan perkhidmatan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin ketika mengesahkan perkara itu berkata, tindakan itu diambil atas persetujuan Presiden dan EXCO FAM.

Menurutnya, langkah tersebut bagi menyusun semula organisasi badan induk bola sepak negara dengan tujuan menjaga dan mengawal kewangan FAM.

“Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (yang juga) Tunku Mahkota Johor dan barisan EXCO bersetuju untuk menyusun semula organisasi FAM.

“Ia bertujuan untuk menjaga dan mengawal kewangan persatuan. Ia juga turut bertujuan untuk tidak membazirkan duit persatuan seperti apa yang Tunku Presiden maklumkan iaitu berbelanja dengan berhemah disebabkan sebelum ini banyak sangat pembaziran.

“Seramai 20 kakitangan pentadbiran dan teknikal ditamatkan perkhidmatan dalam FAM untuk memastikan perjalanan organisasi ini mencapai hala tuju yang sepatutnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Hamidin berkata, FAM telah memaklumkan kepada kakitangan terbabit hari ini dan mereka akan dibayar pampasan tiga bulan gaji.

“Mereka dimaklumkan hari ini berserta notis dan tiga bulan gaji akan dibayar sepenuhnya sebelum 15 April ini.

“Untuk makluman semua, semua unit dan jabatan di FAM akan diseragamkan serta digabungkan mengikut organisasi ditetapkan,” katanya. – 4 April 2017.