Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan Kata Husam ‘Gila Talak’

Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan menyifatkan, bekas Exco kanan kerajaan PAS Kelantan, DatukHusam Musa sebagai ‘gila talak’.

Presidennya Razak Abas berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu gagal menjadi seorang pemimpin parti yang baik semasa bersama PAS.

Katanya, namun apabila bertindak keluar parti beliau cuba mencari kesalahan PAS dengan berbagai helah.

“Kenapa selepas dibuang dari parti, baru beliau nak ubah macam-macam, kenapa tidak ketika beliau menjadi Exco dan Naib Presiden parti,” katanya.

Dalam pada itu, Razak turut menyifatkan Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai ‘licik’.

Beliau berkata, tidak mustahil Mahathir akan mengulangi tindakan seperti mana yang dilakukan pada 1969 lalu.

“Mahathir dipecat keluar UMNO ketika pentadbiran Tunku Abdul Rahman, namun beliau masuk semula dalam parti itu ketika Tun Abdul Razak.

“Kali kedua beliau keluar UMNO adalah ketika tidak menyokong cara pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum bertindak masuk semula ke dalam UMNO kemudiannya dan terbaharu, beliau keluar UMNO sekali lagi kerana tidak suka pada Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Razak berkata, ketika keluar parti, Mahathir akan mengutuk parti lawan dan memuji parti lain.

Beliau percaya, Mahathir akan mengulangi sejarah, kembali semula dalam UMNO dan mengutuk DAP, PKR dan PAS jika Najib berundur.

Katanya, sikap Mahathir yang seolah-olah tidak berpendirian itu menyebabkan politik tanah air kini tidak lagi disegani atau dihormati rakyat. – 4 April 2017.