Suami Dr. Vida Enggan Komen

Suami pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Fairuz Ahmad Zainuddin mengambil sikap berdiam diri untuk tidak membuat sebarang komen berhubung keretakan rumah tangganya yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.

“Tengah viral ya, biarlah… tiada komen. Biarlah orang nak cakap apa. Komen saya adalah tiada komen,” katanya menerusi satu pesanan.

Semalam media melaporkan, pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman mengakui beliau dalam proses penceraian secara rasmi dengan suaminya.

Jutawan kosmetik yang lebih dikenali dengan Dr. Vida itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai hubungan yang kini diibaratnya sudah ‘di hujung tanduk’.

“Ya… Hubungan kami ibarat sudah dihujung tanduk, terlalu rapuh. Tetapi buat masa ini lebih baik saya tidak komen apa-apa nanti tersalah komen pula.

Khabar mengenai keruntuhan rumah tangga pengusaha produk kecantikan ini mula tersebar sejak dua minggu lalu.

Vida bernikah dengan Fairuz pada Oktober 2014, yang juga perkahwinan ketiga wanita itu. – 4 April 2017.